Nikmat Ilmu

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/27/2008 07:55:00 pm

Rasanya sejak dari pandai membaca, aku kerap didedahkan dengan kisah Bahtera dan juga kisah teladan dari segenap alam bumi. Saban minggu tanpa jemu, aku akan ke Perpustakaan Negara (PN), sewaktu itu masih di lokasi lama (Jalan Raja Laut, sekarang sudah diambil-alih oleh Cosmopoint College). Tak habis baca disitu, ku pinjam bawa balik atau pun sorok di rak yang tidak sepatutnya agar orang lain tidak dapat jumpa......:D. Maaflah encik-encik, tuan-puan pegawai yang bertugas di PN sewaktu itu. Bila wujud Pusat Islam, aku kerap ke sana pula, mengali ilmu di perpustakaannya yang tidak kurang hebat bahan ilmiahnya. Kengkadang ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), juga lain-lain khutub-khannah samada yang statik mahupun yang bergerak, bagi tujuan yang sama.

Ya lah, waktu itu mana popular internet kalau ada, mana nak cari orang guna komputer, mana wujud telefon bimbit lagi, yang mana hanya ku mampu miliki sewaktu sudah bergelar Jurutera. Zaman Retro lah katakan. Orang hasilkan thesis kalau tak taip, alamatnya tulis tanganlah. Dulu kalau tak pandai menaip, susah dapat kerja pejabat, tapi sekarang kalau tak pandai guna komputer, itu menjadi perkara yang pelik. Lainlah, kalau kita kurang mampu dan pada hematku, tahu komputer tidak semestinya perlu ada komputer di rumah. Aku mula guna komputer, bila jejak kaki ke menara gading, itupun sebab ada subjeknya dan ada keperluannya. Sewaktu sekolah menengah, ada kelab komputer tapi kita golongan kurang mampu, mana taknya RM75/bulan. Bekal duit gi sekolah pun 20 sen je, dah tu pulak 5 batu jauh sekolah dari rumah kalau ikut radius, kalau ikut laluan bas, mahu jauh lagi lah. Jadi, ukur baju di badan sendiri.


Namun, bila teringat akan pesan almarhum guru, "Eloklah diam jikalau tidak tahu yakni kurang yakin", aku cuba berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu ilmu. Sewaktu dihantar ke pondok, aku didedahkan dengan kitab-kitab samiat, tauhid dan lain-lain......Oohhh! Nikmatnya rasa hidup, bahgianya aku, terima kasihlah Mak Ayah kerna sudi memenuhi impianku, walaupun pada mula tu agak kurang percaya, "Betul ke budak ni?". Guru-guru dan kawan-kawan pun baik, tapi elok-elok kat sana gi keluar pulak, satu kerugian besar rasanya walaupun atas sebab-sebab tersendiri. Ya! Hidup perlu diteruskan.
Ada masa, kita cerita lagi...

Kisah Babi

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/27/2008 07:48:00 am


Babi, dari nama seekor haiwan boleh menjadi popular seantero alam. Namanya cuba ditukarkan kepada khinzir agar mampu membawa imej yang baik, tak segan nak sebut. Mak Ayah marah bila kita sebut "ba#%" sewaktu kita kecil dulu, kerna takut terbiasa, terkurang ajar,.....ya! nama yang tidak baik tak perlu disebut. Manusia sering membabikan manusia, malah sering dibabi-babikan sesama mereka. Kelihatan namanya telah menjadi satu sifat kata, mungkin guru bahasa atau mungkin DBP boleh tegur samada ianya patut ke tidak digunakan. Tidak sekadar nama, wujudnya pun sering dipolitikkan dan dipolimekkan, umpama politik negara. Namanya hangat diperbahaskan, baik di Dewan Rakyat mahupun di kedai-kedai kopi. Politik babi akan ada dimana-mana, bagi mereka yang bertujuan baik, cuba menyelesaikan secara sabar dan berhemah. Manakala mereka yang bertujuan jahat, akan mencari jalan agar nama itu tetap disebut sampai bila-bila.

Babi oh Babi, wujud mu kontrovesi....ya sejak dulu hingga kini.


Bab haramnya bagi umat Islam dari segala hal, bab sumber makanan kepada yang bukan Islam tidak ingin diperbincangkan. Ini bukan berkaitan politik, saya tidak arif. Saja ingin berkongsi kisah wujudnya haiwan ini. Bila? Di mana? Kenapa? Saya cuba perihalkan. Kisahnya diharamkan perlulah dibincangkan dengan para ustaz dan tuan guru yang bijaksana ya!


Ya! Kisah dari dalam Bahtera lagi..... Bila?.....Ya! Tentulah di zaman Nabi Allah Nuh Alaihissalam.

Kisahnya begini, sewaktu di dalam bahtera, segala macam haiwan ada. Tetapi ada yang wujud sebelum kejadian bahtera, ada yang wujud semasa di dalam bahtera. Sewaktu itu, babi, tikus, kucing belum ada dan wujudnya sememangnya tersirat dengan makna. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita sebagai hamba wajib mengambil ikhtibar dari setiap kejadian.


Sewaktu dalam bahtera, dengan segala macam haiwan yang ada, maka wujudlah segala macam bau yang kurang enak hasil dari najis-najis mereka. Kalau manusia, tidak perlu khuatir tentang masalah ini, inikan haiwan. Berapa kerat pun umat Nabi Nuh yang beriman pada ketika itu, dan siapa nak berurusan dengan segala macam haiwan ni.....nak cari nahas... :D.


Maka, telah disedari oleh baginda Nabi akan masalah ini, lalu menadah tangan memohon petunjuk. Setelah itu, diperintah kepada baginda agar menyapu/mengusapkan tangan baginda ke badan gajah. Tak semena-mena keluarlah makhluk Babi ini (minta maaf lah ya kerana penulis kurang ingat arah keluarnya, samada belalai atau anu-nya (tempat keluar najis), kalau ada yang ingat mohon cuba betulkan). Setelah keluarnya babi ini, dengan membabinya atau tanpa melenggah ia terus memakan segala najis yang ada, selagi mahu :D


Maka, sehingga habislah najis-najis 'dibersihkan' oleh haiwan babi ini, dan selesailah satu lagi masalah di dalam bahtera. Penulis ingin berhenti sekadar kisah babi sahaja, haiwan lain kena tunggu tajuk baru :D


Dari paparan kisah babi ini, kalau masih ada yang ingin menanyakan soalan kenapa ianya diharamkan dan kalau tak nak gi tanya ustaz, bak kata Nabil Raja Lawak " Lu pikkir la sendiri".

Babi ini jenis haiwan yang kuat membiak, asal dapat makan je, senang la dia beranak-pinak. Dulu, sewaktu zaman remaja, kawan-kawan selalu cemburukan saya sewaktu bermain satu permainan komputer "SIM FARM" kerana sering menang atau dengan kata lain jadi kaya. Game tu adalah satu permainan perladangan dan penternakan haiwan, siapa pandai ternak dia akan jadi kaya lah. Teknik ingin menjadi kaya perlu ada 2 teori pada hemat saya, satu tanam orange dan satu lagi adalah ternak babi. Tanaman orange amat cepat dapat dituai dan banyak hasilnya tetapi petani akan hadapi masalah serangga perosak, jadi ada risikonya. Ternak babi, petani akan jadi kaya tanpa risiko kerana babi akan membiak cepat setiap 3 bulan dan setiap induk paling kurang 6 anak. Lepas 3 bulan, anak pulak beranak, dan beranak, dan beranak......hui..kaya...kaya..kaya.... Maka kawan-kawan yang jealous ni kata la mana aci makan rezeki HARAM! :D


Ya! realiti sebenar penternakan babi ni lebih kurang sama la macam game tu, sebab mereka (mat saleh) ni merekacipta permainan melalui kajian ilmiah, bukan sekadar reka ikut syok sendiri walaupun ada segelintir juga. Sebab itulah negara kita pun banyak babi, sebab haiwan ni memang senang membiak, makan pun senang, kalau tak free, penternak dapat makanan murah yang mereka ambil dari peniaga-peniaga kantin (sisa makanan).


Semasa diskusi ilmiah, ada kawan-kawan mengetengahkan isu negara menjadi pengeksport babi terbesar, jawapan saya (maaflah sbb ni sekadar bergurau) pada mereka adalah "betul lah, sebab kita tak makan babi, jadi eksport lah, :D).


Jadi, kalau kita ingin menidakkan wujudnya babi atau menghapuskan terus haiwan ini dari alam ini, pada hemat saya itu adalah kerja Mustahil. Wujudnya pun bertujuan, maka pengurusannya perlu dibuat secara teratur. Tidak perlu dipolitikkan, cuma perlu penyelesaian yang baik sesama kita Umat Islam tanpa perlu ada pertikaian dan perselisihan.


Sekadar, berkongsi pendapat dan menyampaikan pendapat. WALLAHU A'LAM.

Minda Bawah Sedar

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/22/2008 08:53:00 am

0



Rasa semua orang tahu apa maksudnya MINDA? Mungkin ada yang menjawab fikiran, akal, pemikiran dan sebagainya lagi. Ya! rasanya sudah betullah tu jawapannya. Contoh yang selalu kita guna tentang minda ni seperti ujian minda, minda orang melayu, minda anak muda dsb.


Tapi bila bercakap tentang Minda Bawah Sedar....semua dok tanya balik, apa benda tu? Orang hilang akal ke? Orang tak sedar ke?......(senyum pun ada).


Saya didedahkan secara tidak langsung kepada perkataan ini oleh ayahanda saya dari sewaktu kecil lagi. Tidak pula diajar secara formal, tidak pula diterang sebab-sebabnya. Apa yang di fikiran saya ketika itu...ooooh, mungkin petua orang tua kot!


Bila sudah tua ni, dah jadi pendidik ni, melalui segala macam bacaan, segala macam kursus serta bengkel motivasi, segala macam cerdik-pandai yang tersua dan bergaul. Terfikir pula yang benda ni orang panggil Minda Bawah Sedar. Maka, Betullah ajaran ayahandaku.


Minda terbahagi kepada 2, satu minda sedar dan satu lagi minda bawah sedar. Minda sedar yang kita mampu mengawal secara lahiriah seperti deria badan kita, bau, sentuh, lihat, rasa, bunyi. Minda bawah sedar ni yang secara batiniah lah yang mana kawalan dilakukan secara tidak disedari. Kata yang pakar, ianya bermain dengan tanggapan atau perasaan.


Apa yang saya nak kupaskan di sini adalah Minda Bawah Sedar, dan untuk lebih faham, saya cuba berikan contoh yang mudah-mudah je. Kalau nak lebih mahir kena pergi kursus Mind Power la ya. Saya pun nak bercerita atas dasar pengalaman dan ajaran almarhum ayahanda saya 20-30 tahun dulu je.


Minda bawah sedar ni sebenarnya akan melahirkan ilham. Ilham ni kan benda yang datang secara tiba2 je. Dari Ilham, ianya kan menjadi satu ingatan yang kekal ataupun kalau tak nak, ianya akan jadi ingatan jangka pendek, contohnya proses menghafal nota.


Guru sejarah saya mengajar menghafal nota sejarah adalah dengan menulis sebanyak yang mungkin. Dari tulisan, katanya secara tak langsung akan ada yang tersimpan di otak, mungkin sedikit, mungkin banyak. Kami diajar menyalin setiap masa setiap waktu kelas, disamping juga membaca, hakikatnya......ya, kami berjaya. So, Thanks Mr. Thiru.


Ada juga cara menghafal saya panggil kaedah Minda Bawah Sedar. Caranya, cuba asak bahan bacaan ke dalam minda bawah sedar, dan ianya akan keluar sebagai ilham yang tidak di sangka2. Bagaimana?


Ni untuk kes yang payah sekali la nak menghafal. Sewaktu hendak tidur, cuba ulang-ulang bahan bacaan sebanyak yang mungkin (dalam hati la, kalau kuat2 mungkin terus tak tidur nanti :P). Di antara tidur dan tak tidur tu, minda bawah sedar memainkan peranan. Bahan bacaan tadi, akan (mungkin) memasuki alam mimpi anda seperti mana anda termimpikan seorang teman yang istimewa kerana terlalu teringatkannya. Bila bangun tidur, apa yang kita mimpi akan kita ingat dan cuba terus fikirkannya kerana seandainya kita tidak cuba mengingatkannya, kemungkinan akan segera lupa. Bila sudah segera ingat, nah! bacaan tu sudah ada di dalam otak anda sekarang. Ini bukan cakap kosong tapi semuanya sudah dicuba terlebih dahulu. Contoh lain yang kerap dibuat ialah bangun tidur awal tanpa Set Alarm. Original Alarm sudah tersedia dalam diri masing-masing tapi kena tahu caranya.



Seandainya kita memandu kereta untuk perjalanan yang jauh dan bergerak pada sebelah malam pula, kemungkinan kita akan dilanda perasaan mengantuk. Dalam situasi ini, cuba elakkan dan sekiranya berlaku juga perlu rehat yang cukup. Satu cara saya adalah menggunakan minda bawah sedar. Sebelum bertolak (ini untuk waktu malam shj), saya akan tutupkan jam digital kereta dgn salotape (warna gelap) hingga tidak nampak waktunya dan jangan memakai jam tangan. Kemudian bertolaklah ke destinasi yang dituju sehingga sampai, mungkin perlu berhenti untuk rehat tapi perlu diingat jangan cuba melihat jam. Minda kita ini akan secara otomatik bertindak berdasarkan apa yang kita lihat. Memang akan berlaku penyeksaan minda di sini. Bila mata kita melihat waktu jam sudah lewat, maka otomatik otak akan berfikir waktu tidur, sudah lewat, mengantuk dsb tetapi kalau tidak diketahui waktunya, tidak pula fikiran sampai ke arah tersebut. Tak Percaya, cuba lah :D.


Minda Bawah Sedar ini banyak manfaat kalau tahu caranya. Banyak lagi yang ingin dikongsi tapi takut bosan membaca nanti. WALLAHU A'LAM

Fakta Bumi Condong dari Paksinya

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/22/2008 07:39:00 am

0

Sejak mengalami kejadian 4 musim ini - panas (summer), luruh (autumn), sejuk (winter), bunga (spring), fikiranku teringatkan pengajaranku semasa kuliah pada pelajar, segala ilmu yang ku perolehi semasa menjadi pelajar, walhal masa itu segala ilmu yang dipelajari dan diajari hanyalah teori semata-mata. Ya! fakta bumi yang berada dalam kedudukan condong dari paksinya.




Setengah sumber mengatakan bumi condong dari paksinya (pugak)sebanyak 23.5 darjah, dan ada pula mengatakan 23.4 darjah, namun yang pasti ia tidak berada dalam kedudukan tegak. Kenapa???

Ya! Ciptaan ALLAH, kalau kita renungkan, cukup besar hikmahnya kepada sekalian makhluk.

Jawapannya sudah ku berikan pada permulaan ayat lagi. Ketika berputar di atas paksinya, Bumi condong daripada orbitnya. Inilah yang menyebabkan berlakunya pembentukan empat musim; musim bunga, panas, luruh dan sejuk.


Kerana sifat ALLAH itu Adil, tatkala di satu belah bumi dilanda suasana malam, satu belah lagi mengalami waktu siang (mengalami pancaran matahari). Jika di balik-balik globe itu, dan matahari memancar tepat di sebelah sisi bumi, maka segenap penjuru alam akan menerima kehadiran cahaya sang suria itu tanpa satu pun tertinggal.

Seluruh makhluk termasuk manusia, tumbuhan dsb memerlukan cahaya matahari untuk hidup. Tujuan penciptaan malam dan siang dinyatakan di dalam Al-Quran seperti berikut:


Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.
(Surah Al-Furqan:47)


Cuba kita bayangkan kalau bumi berputar tegak pada paksinya dan keadaan matahari masih sama iaitu di sebelah sisi. Kita kan lihat kawasan kutub (Artik dan Antartik) tidak dapat menerima cahaya matahari dengan sepenuhnya. Apa akan jadi dengan keadaan manusia atau tumbuhan di sana. Sebagaimana jika kita sentiasa berada di dalam gelap?


Pertama, kita tidak akan dapat melihat matahari, langit biru atau keindahan lain yang hanya dapat kita lihat pada siang hari. Bagaimana waktu tidur kita atau hal pekerjaan kita? Kita mungkin pergi ke sekolah/kerja di dalam kegelapan malam dan juga berehat di dalam gelap. Bagaimana tumbuhan hendak melakukan fotosintesis tanpa unsur cahaya? Bagaimana kehidupan haiwan dan aktiviti mereka?

Di dalam Al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa jika Dia berkehendak Dia boleh memanjangkan malam atau siang:

Katakanlah: "Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?"
(Surah Al-Qasas:71)

Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?"
(Surah Al-Qasas:72)

Kawasan yang kedudukannya selari dengan matahari seperti (tropika) atau yang jauh dari matahari (kutub utara/selatan) hanya ada satu musim sahaja (panas/sejuk), manakala yang di antaranya akan mengalami kejadian 4 musim tersebut. Maka Bersyukurlah akan kurnia-Nya.

WALLAHU A'LAM

sumber juga diambil dari:- www.hyahya.org

Mengapa kaki merpati Merah?

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/18/2008 03:22:00 am

0


..........bacaan saya sewaktu remaja dahulu (lebih-kurang 15 tahun dulu), kisah-kisah nabi: Nabi Allah Nuh, antaranya:

Kisah berkisar dan berkitar di dalam bahtera pada zaman Nabi Allah Nuh Alaihissalam, sewaktu Allah turun ujian banjir yang maha besar hingga mengorbankan umatnya yang kufur. Dikhabarkan setiap haiwan berpasangan dan setiap haiwan mempunyai kisah masing-masing, yang mana kita sebagai makhluk Allah yang lemah wajib mengambil ikhtibar sewajarnya.


Hatta tatkala sekian lama belayar tanpa ketahuan bila hujungnya, Nabi Allah Nuh memerintahkan sepasang itik (mungkin spesis itik nila atau seangkatan dgnnya) ke kaki langit bagi mengetahui bila air akan surut (mungkin kelihatan daratan di sana) dan segeralah pulang walau apa jua berita. Dahulu sang itik boleh terbang. Maka berenanglah (mungkin terus terbang) mereka keduanya ke sana dengan penuh rasa hormat.


Ditunggu-tunggu oleh baginda khabar baik yang mungkin dibawa oleh kedua itik dgn penuh sabar, namun bayangan mereka tidak kunjung tiba. Timbul rasa gelisah baginda akan kelakuan sang itik kedua. Setelah tidak tertahan dgn kealpaan itik, lalu sebagai utusan yang kedua, diperintahkan merpati dua sejoli ke arah yang sama bagi tujuan yang sama dan sedikit kerja tambahan iaitu memanggil pasangan itik kembali ke bahtera.


Dengan rasa bangga, terbanglah mereka kedua dgn riang ke kaki langit. Tiba di kaki langit, dilihat mereka, amat riang sekali kedua itik bermain air. Tanpa berlengah, mereka pun tumpang sekaki.....nak berenang mungkin tak boleh, main cecah-cecah kaki ke air amatlah galak. Sehingga lupa perintah suruh kembali segera. Penulis pun tak tahu nak gambarkan riangnya mereka berempat bermain air, cuma sekadar ingin gambarkan yang mereka amat seronok bermain air hingga leka perintah nabi. Gambaran lamanya mereka bermain air adalah sehingga kaki mereka yang putih menjadi MERAH.


Namun setelah kaki menjadi merah, sedarlah mereka akan kesalahan mereka kepada perintah yang diberi. Lalu, segera mereka kedua terbang meninggalkan dua sang itik kembali ke bahtera menyampaikan khabar sambil memohon ampun dari Nabi Nuh. Lama sesudah itu barulah muncul kedua sang itik tanpa rasa malu. Maka murkalah nabi Allah Nuh, disumpahlah sang itik (beginilah tuturnya lebih-kurang, kalau salah mohon maaf), ''Ku pohon diambil kuasa terbangmu, dan carilah kamu makan di paya kotor''. Disebabkan kedua merpati segera memohon ampun, maka tidaklah disumpah cuma diberikan tutur begini (kalau salah harap maaf), "Dgn sikap kamu yang begini, maka ku angkat kalian menjadi sahabat kepada manusia, jinak-jinak tapi tidak". Tambahan pula merpati sudah mendapat balasan awal iaitu kakinya menjadi MERAH.


Apa yang penulis nak sampaikan adalah MORAL yang boleh diambil dari kejadian tersebut, agar taatlah akan perintah Allah dan nabi-Nya. Kalau kita tengok kaki burung merpati, memang merah maka cerita ini dikenang-kenang dan burung ini juga manusia jadikan sebagai sumber penghantaran berita pada zaman dahulu, sekarang ianya dipelihara disebabkan sifatnya yang jinak-jinak, boleh lepas bebas tanpa rasa ragu kerana ianya akan kembali sendiri ke 'rumah'nya kemudian. Tentang itik pulang, ada benarnya ia tidak boleh terbang seperti burung dan juga mencari makan 'menyudu' di air kolam yang keruh. WALLAHU A'LAM.


gaya penceritaan sekadar untuk lebih menarik, kalau tak menarik juga.....ku pohon ampun dan maaf.

Selamat Hari Guru

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/16/2008 07:12:00 am

0


Give A Man A Fish, He Will Eat For A Day
Teach A Man How To Fish, He Will Eat For A Lifetime





Belasungkawa : Tuan Guru Hj Abdullah Hj Abdul Rahman

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/15/2008 07:09:00 am

0

SUMBER HarakahDaily.Net : WED MAR 19, 08 11:04:04 AM MYT

PASIR MAS, 19 Mac (Hrkh) : Ulama tersohor di Kelantan dan nusantara, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi tadi. Beliau merupakan antara dua ulama terkenal di negara ini yang mempertahankan institusi pondok tradisional.


************************^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^***********************
Tuan Guru Abdullah terkenal dengan panggilan Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah (Abg Haji Lah, kebiasaan panggilan kami sebagai muridnya), berusia awal 80-an mewarisi Pondok Lubuk Tapah daripada ayahnya Tuan Guru Abdul Rahman (Haji Baba).


Ketokohan beliau dalam bidang agama memang sukar dicari ganti. Allahyarham adalah antara guru Pondok yang masyhor dan juga bermulut masin (tambahan: dari pengamatanku, beliau juga terus mata). Muridnya bukan setakat dari Kelantan tetapi dari seluruh negara hingga dari Pattani dan Singapura. Itu masa waktu aku dulu la, mungkin dah meluas selepas itu.



Satu lagi yang ku tak boleh lupa, katanya pada yang degil2 dulu (aku tidak termasuk, sekadar pemerhati je, jangan salah sangka), "mu ado sini, pasal mu sakit, keno berubat". Dalam sungguh kiasnya! Tiga hari berubat, yg lincah boleh jadi baik, jadi alim.

Hebat...

Abe Haji tak pernah gagal menjawab setiap persoalan yang dikemukakan (biasanya ada sesi soal-jawab selepas pengajian kitab antara Maghrib dan Isyak). Pada satu ketika tu sekeping kertas berlegar di antara kami (para murid) kerana tidak berani di sampaikan kepada beliau (ditulis dalam bahasa Inggeris). Entah macamana, kertas itu sampai juga ke tangan beliau, dan terus dijawab tanpa sebarang masalah pemahaman bahasa. Hati kami masing-masing berkata...

Hebat..

Ya, sewaktu tu, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memang rakan baiknya, kerana selalu disebut-sebut ketika kami menadah kitab darinya.



Ku junjung tinggi budimu, tuan guru serta guruku yang lain (juga muridmu) selama aku di sana (20 thn dulu). Takziah buat keluarga tuan guru.



AL-FATIHAH.


~wea putih~

Sesi Tazkirah 2

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/14/2008 09:43:00 pm

0







Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima (5) Kali ....


1. Aku rumah yang terpencil,maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.

2. Aku rumah yang gelap,maka terangilah aku dengan selalu solat malam.

3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.

4. Aku rumah ular berbisa,maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar
.
5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir,maka banyaklah bacaan
"Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

Sesi Tazkirah 1

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/14/2008 06:41:00 pm

0








10 Laluan Yang Bakal DiLalui Oleh Manusia Dari Dunia Sampai Akhirat

Bagaimana memudahkannya?

LALUAN MENUJU KE KUBUR
a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & keji -mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan qadha’ hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil!)

LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mukmin
c. Bayar semula/qadha’ (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Ta’ala

LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
a. Mengucap Dua Kalimah Syahadah
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati


LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN
a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanfaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan apa yang didatangkan oleh ALLAH


LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat

LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAKIM
a. Kasihilah Aulia ALLAH Ta’ala
b. Berbaktilah kepada kedua Ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum Syara’
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk


LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
a. Banyakkan membaca Al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram


LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihilah orang yang Soleh
c. Kerjakan segala suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH

LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD
a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulullah
c. Tuntutilah yang difardukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat ke atas Nabi S. A. W.

LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i’tiqad kepada ALLAH

d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya