Fakta Bumi Condong dari Paksinya

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in | Posted on 5/22/2008 07:39:00 am

Sejak mengalami kejadian 4 musim ini - panas (summer), luruh (autumn), sejuk (winter), bunga (spring), fikiranku teringatkan pengajaranku semasa kuliah pada pelajar, segala ilmu yang ku perolehi semasa menjadi pelajar, walhal masa itu segala ilmu yang dipelajari dan diajari hanyalah teori semata-mata. Ya! fakta bumi yang berada dalam kedudukan condong dari paksinya.




Setengah sumber mengatakan bumi condong dari paksinya (pugak)sebanyak 23.5 darjah, dan ada pula mengatakan 23.4 darjah, namun yang pasti ia tidak berada dalam kedudukan tegak. Kenapa???

Ya! Ciptaan ALLAH, kalau kita renungkan, cukup besar hikmahnya kepada sekalian makhluk.

Jawapannya sudah ku berikan pada permulaan ayat lagi. Ketika berputar di atas paksinya, Bumi condong daripada orbitnya. Inilah yang menyebabkan berlakunya pembentukan empat musim; musim bunga, panas, luruh dan sejuk.


Kerana sifat ALLAH itu Adil, tatkala di satu belah bumi dilanda suasana malam, satu belah lagi mengalami waktu siang (mengalami pancaran matahari). Jika di balik-balik globe itu, dan matahari memancar tepat di sebelah sisi bumi, maka segenap penjuru alam akan menerima kehadiran cahaya sang suria itu tanpa satu pun tertinggal.

Seluruh makhluk termasuk manusia, tumbuhan dsb memerlukan cahaya matahari untuk hidup. Tujuan penciptaan malam dan siang dinyatakan di dalam Al-Quran seperti berikut:


Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.
(Surah Al-Furqan:47)


Cuba kita bayangkan kalau bumi berputar tegak pada paksinya dan keadaan matahari masih sama iaitu di sebelah sisi. Kita kan lihat kawasan kutub (Artik dan Antartik) tidak dapat menerima cahaya matahari dengan sepenuhnya. Apa akan jadi dengan keadaan manusia atau tumbuhan di sana. Sebagaimana jika kita sentiasa berada di dalam gelap?


Pertama, kita tidak akan dapat melihat matahari, langit biru atau keindahan lain yang hanya dapat kita lihat pada siang hari. Bagaimana waktu tidur kita atau hal pekerjaan kita? Kita mungkin pergi ke sekolah/kerja di dalam kegelapan malam dan juga berehat di dalam gelap. Bagaimana tumbuhan hendak melakukan fotosintesis tanpa unsur cahaya? Bagaimana kehidupan haiwan dan aktiviti mereka?

Di dalam Al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa jika Dia berkehendak Dia boleh memanjangkan malam atau siang:

Katakanlah: "Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?"
(Surah Al-Qasas:71)

Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?"
(Surah Al-Qasas:72)

Kawasan yang kedudukannya selari dengan matahari seperti (tropika) atau yang jauh dari matahari (kutub utara/selatan) hanya ada satu musim sahaja (panas/sejuk), manakala yang di antaranya akan mengalami kejadian 4 musim tersebut. Maka Bersyukurlah akan kurnia-Nya.

WALLAHU A'LAM

sumber juga diambil dari:- www.hyahya.org

Comments (0)