Dakwah Ikan Payung

Posted by 'adasatul 'aini | Posted in , | Posted on 3/24/2009 10:00:00 am

Apa itu dakwah?

Menurut istilah Arab yakni dari kata dasar Da'wah, Da'a, Yad'u. Dalam istilah Melayunya membawa makna mengajak, menyeru, memanggil, menganjurkan.

Dakwah yang dimaksudkan di sini adalah mengajak, menyeru, memanggil atau menganjurkan manusia untuk tetap berada di jalan yang diredhai Allah SWT. Semoga juga dijauhkan dari perkara yang menyesatkan dan dimurkai-Nya.

Teringat akan sesi pengkuliahan aku dulu diwaktu remaja aku. Cerita guruku tentang satu cerita dakwah seorang pendakwah yang telah pergi kepada satu kaum peribumi (tak perlulah aku sebut). Kata Abe aji, pernah dengar kisah ‘Dakwah Ikan Payung’. Semua menggeleng tidak pernah, dan pinta diceritakan kisah itu. Cubalah agak sendiri apa yang dimaksudkan ‘ikan payung’ tu.

Ceritanya begini, ada satu kaum ni yang ingin mencari guru agar mereka dapat belajar sesuatu yang baru, yang baik, yang lebih baik dari yang sedia mereka anuti. Dinanti-nantikanlah oleh mereka akan adanya guru yang sudi ke penempatan mereka agar mendakwahi mereka. Maka datanglah seorang pendakwah yang pertama ini, lalu amat dinantikanlah oleh mereka untuk mendengar apa yang akan disampaikan oleh pendakwah itu.

Dalam sesi soal-jawab yang baru bermula itu, lalu ditanya oleh seorang penduduk kepada pendakwah tersebut, ‘Tuan Guru, kami suka memakan ikan payung, apa hukumnya dalam agama tuan?’. Dengan reaksi sepontan, lalu dijawab oleh pendakwah tersebut, ‘Kenapa makan benda yang haram? Ikan payung haram dimakan’. Mendengar sahaja jawapan pendakwah tersebut, lalu dibalas oleh suara penduduk yang lain, ‘Oh, nampaknya kita telah tersalah menerima guru, dia tidak layak menjadi guru di tempat kita ini, maka perlulah dia kita usir segera’. Jawapan itu disokong secara majoritinya, maka diusirlah pendakwah tadi dari kampung itu.

Tidak lama setelah peristiwa itu, mereka telah didatangi lagi oleh seorang pendakwah lain, iaitu pendakwah yang ke-2. Seperti biasa, mereka memang mera’ikan guru-guru yang ingin menyampaikan dakwah di kampung mereka. Seperti pendakwah pertama, pendakwah yang baru tiba ini juga diajukan soalan dalam sesi soal-jawab. Soalannya sudah pasti berkenaan ikan payung, ‘Tuan guru, pernahkah tuan memakan ikan payung?’, tanya mereka. Ditanya balik oleh pendakwah yang ke-2, ‘Apa itu ikan payung?’. Lalu mereka pun menerangkan perihal ikan payung, serta merta dibentah oleh pendakwah, ‘kenapa makan binatang yang haram? Binatang tu dua alam, bla bla bla bla...panjang lebar huraiannya’. Lalu jawapan yang mereka perolehi amat tidak menyenangkan, malah lebih kurang menghina kaum mereka. Lalu mereka sepakat untuk menghalau pendakwah yang ke-2 itu.

Kemudian datang pula pendakwah ke-3, ke-4, ke-5, ke berapa entah?, semuanya dihalau oleh mereka kerana jawapan yang sama mereka dengari, kekallah mereka dengan kehidupan mereka yang dahulu juga.

Peristiwa ramainya pendakwah-pendakwah dihalau itu didengari oleh seorang mu’alim ini. Sampailah ia ke kampung tersebut sebagai pendakwah. Beliau juga dira’ikan dengan baik sehingga sesi soal-jawab....jeng...jeng...jeng....bikin suspen sikit...hehe..

Ujian pertama...

‘Tuan guru, pernahkah tuan makan ikan payung?’, tanya seorang penduduk.

‘Ikan payung? Buat-buat terkejut..., dulu suka benar saya akan memakan ikan payung ini’, jawab mu’alim bermuslihat.

Mendengar sahaja jawapan itu, terus terdengar suara diantara mereka penduduk di situ, ‘Inilah guru yang kita tunggu-tunggu’. Kita harus belajar dari tuan guru ini, balas mereka lagi. Lega sekejap mu’alim tersebut.

Ujian kedua.....

Dalam pada itu, mereka telah menyediakan sedikit jamuan lalu mengajak mu’alim untuk menikmati bersama. Tidak berani menolak kerana takut mereka berkecil hati, dituruti kemahuan mereka. Ketika berhadapan dengan hidangan tersebut, bertanya mu’alim itu, ‘hidangan apakah ini, nampak sangat menyelerakan’. Tersenyum lebar mereka mendengar puji-pujian itu.

Dibalas oleh kedua penduduk itu, ‘Ini adalah gulai ikan payung!!’.

Rasa nak tersembur air liur pun ada, nak terbeliak bijik mata pun ada, sejuk seram pun ada, bila mendengar jawapan tersebut. Mu’alim mula mencari akal, selain berdoa.

‘Minta maaflah, saya tak boleh makan gulai ni’, jawapan dari mulut mu’alim. Terkejut mendengar jawapan itu, mereka mula mendesak bertanya kenapa mu’alim menolak memakan gulai tersebut walaupun sudah mengiyakan bahawa beliau pernah makan ikan payung. Keadaan makin getir...mereka nampak macam marah.

‘Jangan lekas marah tuan-tuan’, balas mu’alim. Dahulu saya memang makan ikan payung, tapi sudah lama saya tinggalkan, balasnya lagi.

Mereka hairan, lalu mohon penjelasan lanjut.

‘Cuba tuan-tuan lihat kulit saya dan cuba juga tuan-tuan lihat kulit sendiri, adakah ada perbezaan?’, mohon mu’alim.

Jawab ketua penduduk kampung itu, ‘ya ada perbezaan, kulit tuan licin dan lembut, manakala kami kasar dan mengerutu kebanyakannya’.

‘Hah!, itulah sebabnya’, sepantas kilat mu’alim membalas. Dahulu kulit saya sama seperti tuan-tuan, selepas lama tidak memakan ikan payung, barulah kulit saya menjadi seperti ini, sambungnya.

‘Benarkah begitu, ya tuan guru?’, tanya mereka.

‘Ya! Sudah tentu saya akan menyampaikan perkara yang baik dan tiada manfaatnya saya berdalih’, jelas mu’alim.

Maka setelah itu, mereka dengan sepakatnya meninggalkan tradisi kaum mereka memakan ikan payung, kerna tersentuh hati akan penjelasan pendakwah yang terakhir itu. Selanjutnya mereka mengikuti apa yang disyariatkan oleh ajaran agama kita serta meninggalkan segala yang dilarang.

Dalam menyampaikan dakwah ini, satu perkara yang kita perlu belajar ialah tidak perlu mengambil tukul mengetuk batu, agar ianya pecah, cukuplah sekadar menitiskan air berulang-kali hingga ianya terbelah. Kalau tidak boleh secara tegas, cubalah secara berlembut, mana-mana pun akan ada kesannya.

Dalam percakapan kita seharian juga sepatutnya diselitkan unsur-unsur dakwah, amal perbuatan kita, kaedah bermesyuarah/berbincang kita dan juga pergaulan kita perlu ada dakwah walaupun kadang-kala kita sendiri tidak dapat menerima hakikatnya, mungkin disebabkan kita juga telah tersasar dari hakikat sebenarnya. Bak kata orang-orang lama, ‘melakukan kesilapan itu satu pengalaman pembelajaran agar lebih memahami hidup ini’. Betul juga, kalau kita tidak sesat jalan, kita tidak akan tahu bahawa jalan itu tidak akan membawa kita ke destinasi sebenar. Itu kita panggil iktibar atau pengajaran.

Dalam mengambil panduan atau seruan, hati yang putih, kosong atau bersih senang untuk menerima. Namun bagi hati yang gelap, hitam, kotor amat payah sekali. Serasi dengan keadaan masyarakat sekarang, yang ingin didengari, diterima hanyalah apa yang sedap untuk mereka dengari, yang ingin mereka dengari, yang mereka telah skripkan untuk didengari. Kalau bercanggah, maka perlulah ditolak, perlu dibuang, perlu dijatuhkan. Hina, keji sekali mereka ini. Memang dasar suka diampu. Inilah realiti masyarakat kita sekarang, sepatutnya makin maju makin cendiakawan. Fikir-fikirkan.... WALLAHU A'LAM.

Comments (0)